Sunday 26 May 2013

Tangisan Itu

     Sedang aku asyik tidur tiba-tiba deringan lagu Green Day, 'Know Your Enemy' menjengah di telinga ini. Aku yang tadinya dibuai mimpi indah kini terjatuh daripada buaian mimpi itu dek kerana terkejut dengan deringan itu. Aku mematikan deringan itu seraya mataku melihat ke arah jam yang tergantung di dinding 'dorm'ku. Jarum jam tersebut menunjuk ke arah nombor tiga dan enam sekaligus memahamkan aku bahawa sekarang pukul tiga setengah pagi. Dan fahamlah aku bahawa aku telah tersilap set penggera di telefon bimbitku itu.

      Ketika itu tekakku terasa kering dan seperti merayu untuk dibasahkan walaupun dengan seteguk air.  Dengan perasaan yang agak malas, perlahan-lahan aku melepaskan selimut yang membaluti tubuhku. Lalu aku pun turun dari katilku dan mula mengorak langkah menuju ke 'water cooler' di luar bilikku demi melenyapkan dahaga yang melanda tekakku itu.Lampu tidak dibuka kerana aku khuatir akan mengejutkan rakan-rakan sebilikku lain yang sedang nyenyak diulit mimpi. Langkahku nyata agak berhati-hati kerana suasana bilik itu yang gelap. Ketika melalui deretan katil sebelum ke pintu keluar bilik itu, tiba-tiba aku terdengar suara orang menangis sayu. Aku pun menoleh ke arah suara tangisan itu. Alangkah terperanjatnya diriku apabila aku terlihat suatu kelibat berselubung putih berdiri tegak disitu.

       Sepantas kilat aku memalingkan mukaku daripada kelibat itu. Hati ini berdegup kencang dan terasa seperti hendak terkeluar dari dadaku. Ayat al-Quran yang pernah ku hafal dulu kini berguguran terbit dari lidahku dengan lancarnya. Tangisan itu masih kedengaran, semakin hiba. Lalu aku gagahkan diriku untuk memandangnya sekali lagi. Kelibat itu kini berada pada posisi yang berlainan dari tadi. Jika tadinya dia berdiri tegak, kini dia tunduk sujud. Aku amatinya setajam yang mungkin untuk mendapatkan kepastian. Ketika itulah aku tersedar bahawa dia sahabatku.

      Dan ternyata sahabatku itu sedang melakukan qiamullail. Inilah kali pertama seumur hidupku aku melihat dia menangis sebegitu rupa. Orang yang aku pasti tidak akan menangis walau apapun terjadi padanya kerana kekentalan jiwanya, kini mengalirkan air mata menghadapNya Yang Maha Kuasa. Jiwaku tersentuh bagai ditusuk sembilu berbisa. Tanpa kusedari, air mataku bergelinangan. Air mata yang tersimpan berbelas tahun yang selama ini ku sangka telah hilang dariku kini berguguran jatuh membasahi pipiku. Hari ini aku kembali merasai bagaimana rasanya untuk menangis, yang mana perasaan itu sudah ku lupakan semenjak ku kecil dahulu.Apakah maknanya air mataku ini?

      Hatiku berkata: "Apakah aku dapat menangis sepertinya kerana mengingati Allah?". Teringat daku kepada kata-kata ustazku dulu, "Mata yang terpelihara daripada azab api neraka ialah mata yang mengalirkan air mata apabila mengingati Allah".
Ya Allah, bolehkah aku menjadi sepertinya yang menghidupkan malamnya dengan ibadah kepadaMu..

Saat malam tiba berselimut gelita
Kala manusia lain lelap dalam tidurnya
Mereka lawan beratnya malam dengan ibadat
Untuk merebak cahaya Yang Kuasa
Rasa takut kepadaNya menerbangkan mengantuk mereka
Sedang orang yang merasa aman dari murkaNya
terbuai dalam mimpi-mimpinya.

__________________________________________________________

Sabda Nabi SAW: "Wahai manusia sebarkanlah salam, bagilah makan dan sembahyanglah malam ketika manusia tidur nescaya kamu akan masuk syurga dengan selamatnya." (Hadis Riwayat At-Tirmizi)

Sebab Susah Bangun Malam :-
  • Telah disampaikan cerita seorang lelaki yang tidur malam sampai subuh dan tidak bangun solat malam. Nabi SAW bersabda: "Lelaki itu syaitan telah kencing di kedua belah telinganya." (Hadis Riwayat Bukhari Dan Muslim)
  • Fudail bin Iyad telah berkata: "Apabila kamu tidak mampu untuk qiamullail dan puasa sunat pada siang hari maka ketahuilah sesungguhnya kamu telah dibelenggu dengan maksiat yang kamu lakukan."

4 comments:

Anonymous said...

Semoga apa yang dilalui menjadi satu pengalaman yang begitu berharga dan bernilai disisiNya … Kerana hidup ini ditempuh demi menggapai redhaNya…

Unknown said...

indahnya menangis kerana Allah. Subhanallah... seandainya aku dpt merasakan.. hmm

SERuLL said...

InsyaAllah sama2 kita berusaha untuk meletakkan keikhlasan dan kekusyukkan dlam ibadah kita..tp mmg indah jika mata ini menangis keranaNya

SERuLL said...

InsyaAllah..memang betul kata saudari itu, semoga diri ini mampu memperoleh keredhaan Yang Maha Esa..